Saturday, July 20, 2013

Betapa Indah AndaiKu Tahu RAhsia Disebalik Ramadhan...

Alhamdulillah, tanpa aku sedari, ramadhan tahun ini merupakan ramadhan ke-19 bagi diriku. Namun, ku merasakan tiada sedikit perubahan dan juga kekuatan daripada ramadhan yang telah berlalu. Selayaknya aku mengatakan Ramadhan itu adalah bulan tarbiyah bagi setiap umat, namun apakan daya, diriku hanya mampu berdiri sebagai seorang umat nabi muhammad yang tidak mampu menjadi insan hebat seperti yang diungkapkan nabi namun hanya sekadar insan biasa di akhir zaman ini.
             Ramadhan hadir dan juga pasti akan pergi pada setiap tahun, namun jiwa seorang insan akhir zaman ini tetap keras dan sukar untuk terus mencintai-Mu wahai sang khaliq.

"Ya Allah, aku memohon sedikit hidayah dan taufiq dari-Mu agar engkau menitipkan rasa cinta dan bahagia pada ramadhan kali ini. Jika tidak mampu aku untuk terus menghadirkan rasa cinta pada ramadhan kali ini, aku mohon dari-Mu wahai Allah agar engkau menitipkan setitis harapan pada diriku supaya engkau terus menemukan aku di ramadhan akan datang."

"Wahai Allah, jadikanlah baki hari-hari ramadhan pada tahun ini sebagai satu usaha untuk aku terus berjuang mencari redha-Mu."...

amin

Sunday, July 14, 2013

Roh Jihad Pagi

bismillahirrahmanirrahim..alhamdulillah, setinggi-tinggi tahmid dan tasysakkur dipanjatkan kehadrat Allah swt rabbul jalil diatas nikmat yg tidak terhitung banyaknya.Pada pagi yang penuh barakah ini, tertarik  saya untuk berkongsi dengan rakan pembaca sekalian sepotong ayat al quran " dan jika kamu diberi kelonggaran untuk menghitung nikmat allah nescaya tidak akan terhitung".Oleh itu, jom kita bersama merenung kembali nikmat dan pemberian allah terhadap diri kita sepanjang kita diberi peluang olehnya bermula mata kita melihat cahaya sehingga mata kita digelapkan semula olehnya. Wallahualam

Friday, July 12, 2013



Subhanallah...hebat sungguh tangan-tangan manusia membina sebuah bangunan yang tersergam indah dipandang. Sudah tentu kita juga pernah terfikir betapa hebatnya zat yang mencipta manusia itu sendiri.
Sudah tentu zat Khaliq itu jauh lebih hebat daripada makhluknya. Namun corak pemikiran, hidayah dan juga taufiq daripada sang Khaliq yang membezakan antara makhluknya.

Ingatlah ketika Allah SWT mengangkat martabat seorang insan yang bergelar manusia dan bakal dijadikan khalifah Allah di muka bumi ini. Ketika para malaikat yang mulia mempersoal kepada Allah "mengapa engkau  tuhan rab ingin mencipta golongan yang akan berbuat kerosakan dan kemusnahan di bumi" lalu Allah SWT berfirman "sesungguhnya aku tahu apa yang kamu tidak ketahui".

AllahuAkbar....layakkah kita sahabat-sahabat sekalian meletakkan martabat diri kita yang telah tersedia mulia di bawah, membiarkan para musuh Allah SWT mengalahkan diri ini. Sudah tentu tidak layak.

Wahai sahabat sekalian, jom sama-sama kita berganding bahu dan berjuang bermati-matian agar martabat kita sebgai seorang insan yang telah terangkat kemuliaannya oleh Allah SWT terus mekar hingga ke akhirat.

Wallahua'lam

Sunday, June 30, 2013

Di Sebalik Tasyahud Dalam Solat Menurut ‘Maniyyatu Musolli’
Bismillahirrahmanirrahim…segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar ‘Sayidul Mursalin’ iaitu Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat baginda yang sentiasa berjuang di samping baginda.
            Assalamualaikum diucapkan buat pembaca artikel ini. Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat ilahi kerana diberi peluang oleh Allah untuk berkongsi dengan pembaca sekalian erti dan juga input di sebalik tasyahud atau lebih mesra dengan panggilan tahiyyat. Mungkin ada diantara kita yang dari kecil hinggalah sematang sekarang namun masih kabur tentang erti di sebalik tahiyyat. Namun apakan daya kerana membaca tahiyyat adalah wajib dan merupakan rukun di dalam solat yang akan dilaksankan oleh seseorang. Jika tidak dibaca, tidak sah solat itu umpama sepohon pokok yang tidak bernyawa.Hal ini juga boleh diumpamakan seseorang yang makan nasi berserta lauk pauk yang enak namun tiadalah perutnya terasa kenyang melainkan sekadar letih mulut untuk mengunyahnya sahaja.

            Jika kita teliti serta mentafsir maksud  kalimah dalam tahiyyat amat memberi makna yang mendalam pada diri orang yang membacanya. Sebagai perkongsian untuk para pembaca sekalian, saya telah mengambil intipati yang telah disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah Al Fatoni di dalam kitabnya iaitu ‘Maniyyatu Musolli’. Saya akan menghuraikan secara ringkas dan padat tentang maksud tahiyyat berdasarkan apa yang telah disampaikan oleh Sheikh Daud ini melalui kitabnya.


Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Al fatoni dalam Maniyyatu Musolli bagi rangkap yang pertama ialah bermaksud “kekal kerajaan selamanya itu bagi yang mempunyai sembahyang yang lima waktu tiada segianya ada sembahyang melainkan baginya”.Berdasarkan kenyataan yang telah dinyatakan oleh Tuan Sheikh, rangkap pertama ini membawa kita untuk mengenal dan menilik di sebalik kehebatan dan keagungan yang ada pada Allah SWT. Jika kita menggunakan akal yang sewarasnya untuk memikirkan akan kehebatan ciptaan Allah, sudah pasti akan lahirnya rasa keinsafan dalam diri kita supaya melaksanakan tuntutan yang paling utama sebagai seorang muslim yang mukmin iaitu solat. Sememangnya sebelum tuntutan keatas diri setiap muslim untuk melaksanakan solat dipertanggungjawabkan, ada suatu perkara yang lebih besar daripada itu iaitu I’tiqadiyyah. I’tiqad atau lebih mudah disebut sebagai pegangan atau kepercayaan adalah suatu asas kepada penerimaan ibadah oleh Allah.Jika kita melaksanakan solat namun kita masih ragu-ragu akan kekuasaan kerajaan Allah, maka kita telah gagal menjadi seorang hamba yang mukmin dan iman kita juga berkemungkinan di tahap yang kritikal.Sheikh Daud juga menerangkan kepada kita bahawa tidak layak dan tidak sepatutnya bagi seseorang hamba untuk melaksanakan solat sedangkan hatinya tidak dihadirkan kepada sang Khaliq.Hal ini adalah suatu perkara yang amat tidak boleh diterima oleh fitrah manusia iaitu apabila seseorang diberi pertolongan sudah pasti mereka ingin membalas jasa orang yang menolong itu. Samalah juga dalam hal ini kerana setelah Allah memberi kepada kita kesenangan dan kegembiraan namun kita melupai si pemberi nikmat iaitu Allah.Janganlah kita menjadi seorang yang bodoh ketika kita berada di dunia dan leka serta alpa dengan kenikmatan hidup di dunia sehinggakan kita lupa akan tuntutan sebagai seorang hamba yang diutus oleh sang Pencipta tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri semata-mata kepada-NYA. Hal ini kerana jika kita menyesal apabila kematian telah menjemput kita, itu adalah suatu penyesalan yang sia-sia. Firman Allah SWT dalam surah As Sajdah ayat 12 yang bermaksud: Dan (alangkah ngerinya)  jika kamu melihat akan orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan tuhannya (mereka berkata):Wahai tuhan kami , kami telah melihat dan telah mendengar (kebenaran ayat-ayat Allah) maka kembalikanlah kami(ke dunia) nescaya kami akan melaksanakan amalan soleh.Sesungguhnya adalah kami daripada golongan mereka yang yakin.
            Selain daripada itu juga,jika ditafsirkan pula dari segi bahasanya adalah bermaksud segala penghormatan ,segala keberkatan, segala selawat, segala kebaikan adalah bagi Allah SWT. Hal ini amat jelas dan tidak mampu untuk disangkal lagi bagi seorang mukmin akan kehebatan yang ada pada Allah SWT. Kita sebagai seorang yang beriman sewajibnya beri’tiqad bahawa setiap kesempurnaan ,keagungan, dan juga kemuliaan adalah milik Allah dan segala kekurangan adalah milik makhluknya.Jika kita ambil contoh daripada sahabat Rasulullah SAW yang masyhur seperti Saidina Abu Bakar, sahabat agung ini menjadikan akidah adalah suatu tonggak penting dalam kehidupannya. Segala sesuatu perkara yang ingin dilaksanakan olehnya pasti akan dilihat terlebih dahulu melalui al quran dan juga sunnah. Itulah betapa berhati-hatinya Saidina Abu Bakar agar kesempurnaan iman terjaga sehinggakan Rasulullah SAW bersabda:jika ditimbang iman Abu Bakar dengan seluruh umatku, sudah pasti iman Abu Bakar lebih berat.
            Bagi rangkap yang kedua pula, Sheikh Daud telah mentafsirkan dalam kitabnya Maniyyatu Musolli iaitu “sejahtera atasmu ya Rasulullah seperti engkau sampaikan pesuruh tuhan engkau dan engkau nasihat bagi umat engkau warahmatullah dan ridhwan bagimu wajib dan berkat atasmu dan atas ahlimu yakni bagi segala isi rumahmu”.Sheikh Daud memperincikan disini bahawa ini adalah suatu lafaz di mana Allah SWT iaitu tuhan sekalian alam telah membesarkan kekasih-NYA iaitu nabi Muhammad SAW .Kalimah “as salam” adalah suatu jumlah doa yang membawa maksud sejahtera ataupun kebaikan. Allah SWT dengan kekuasaan dan kemurahannya telah mendoakan Rasulullah SAW dengan kesejahteraan kerana telah menyampaikan risalah dan tugasan yang telah di wahyukan oleh Allah kepada baginda dengan jalan yang benar.Ungkapan salam dalam rangkap kedua ini telah diucapkan oleh Allah SWT ketika baginda di mikrajkan setelah kematian orang yang Rasulullah sangat kasih iaitu Abu Talib dan juga isteri baginda iaitu Khadijah binti Khuwailid.Redha Allah terhadap baginda Rasullah adalah suatu kemestian ke atas diri baginda sendiri.Keberkatan yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah turut ditimpakan juga kepada mereka yang bersama-sama rasulullah dalam menegakkan syiar Allah di muka bumi.Hal ini juga telah dinyatakan oleh Allah melalui firmannya yang bermaksud: katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu kasih akan Allah SWT maka ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan kamu. Secara jelasnya di sini, jika seseorang ingin mencari reda dan kasih Allah SWT, tiada jalan lain kecuali seseorang itu perlu ikut setiap perkataan yang disampaikan oleh Rasullah kerana perkataan yang lahir daripada lidah Rasulullah adalah wahyu Allah untuk kesejahteraan seluruh umat baginda.
            Walaubagaimanapun, kita juga boleh menilik di sebalik intipati daripada kalimah salam yang diungkapkan oleh Allah kepada Rasulullah ini melalui medium lain iaitu solat.Ketika seseorang mengucap rangkap kedua ini semasa melaksanakan solat, seseorang perlulah sedar bahawa dhamir “kaf” dalam kalimah kedua itu membawa maksud mereka yang berada di hadapan kita.Secara mudahnya, kita menganggap bahawa Rasulullah saw sedang berada di hadapan kita sendiri serta kita mengucapkan jumlah doa seperti yang telah Allah firmankan ini terhadap baginda Rasulullah.Secara mudahnya umpama kita berbicara dengan Rasulullah sendiri.Hal ini secara tidak langsung mampu menimbulkan rasa malu jika rasulullah berada dihadapan kita sedangkan fikiran kita semasa melaksanakan solat menerawang jauh sama ada ke timur mahupun selatan.Dengan pengetahuan dan kesedaran akan kehadiran Rasulullah dalam solat kita mampu meningkatkan kekhusyukan kita semasa dalam solat. Kita perlu ingat akan azab Allah yang keras terhadap mereka yang melaksanakan solat namun tidak menghadirkan khusyuk atau dengan kata lain lalai. Allah SWT berfirman dalam surah Al Mau’n ayat 1 dan 2 yang bermaksud: neraka wail bagi mereka yang solat iaitu mereka yang lalai dalam solat mereka.
            Huraian tasyahud ini disambung lagi dengan rangkap ketiga pula.Sheikh Daud telah menyatakan maksud ayat bagi rangkap ketiga ini dalam kitab Maniyyatu Musolli iaitu “yakni ampun Allah atas kami dan atas segala orang yang dahulu daripada nabiyyin dan siddiqin dan orang yang berjalan akan jalan mereka itu hingga hari qiamat”. Sheikh Daud telah menyatakan maksud daripada rangkap ketiga ini bahawa Rasulullah SAW telah menjawab salam Allah SWT dengan memohon agar Allah SWT mengampunkan segala dosa umatnya dan para nabi serta orang yang benar daripada kalangan generasi sebelum kelahiran baginda serta mereka yang berada pada jalan Allah sehingga tiupan sangkakala ditiup oleh Malaikat Israfil yang menandakan qiamat telah hadir.Jika kita singkap di sebalik ucapan Rasulullah ini, kita tidak dapat menggambarkan sifat pemurah serta kasihnya Rasulullah kepada sekalian umatnya. Di waktu Allah mendoakan akan kesejahteraan diri baginda, Rasulullah SAW tidak pernah melupai umatnya sehinggakan baginda tetap menggunakan lafaz “mutakallim” iaitu “nahnu” yang membawa maksud kami. Rasulullah meggunakan lafaz kami yang menunjukkan betapa kasih rasullullah kepada kita walaupun di doakan oleh Allah akan kesejahteraan baginda sahaja namun Rasulullah berharap agar Allah turut memberi kesejahteraan kepada seluruh umat baginda.Lihatlah wahai sahabat pembaca artikel ini akan kasih dan cinta rasulullah terhadap kita semua dan bagaimana pula diri kita untuk membalas jasa rasulullah ini.Terdetik di hati saya untuk mengajak rakan pembaca merenung sebuah hadis rasulullah dimana ketika rasulullah bersama-sama para sahabat baginda lalu Rasulullah berkata kepada sahabat yang berada disamping baginda:aku amat rindu untuk bertemu dengan kekasihku.Para sahabat tersentak lalu bertanya:siapakah kekasihmu yang dimaksudkan?adakah kami semua wahai Rasulullah?.Lalu baginda menjawab: kamu semua adalah sahabatku dan kekasihku adalah umatku yang tidak dapat melihat wajahku tetapi ia kasih akan diriku.
            Seterusnya, penulis ingin menyambung sediki lagi makna daripada tasyahud ini. Sheikh Daud telah memberikan makna daripada rangkap ke-empat ini atau lebih mesra dengan ungkapan dua kalimah syahadah yang berbunyi” yakni tiada ma’bud dalam langit dan bumi yang lainnya tuhan yang wahdaniah” dan seterusnya ialah “khatim nabiyyin dan mursalin dan sofiyyah rabbul alamin dan pilihan daripada segala makhluk kemudian selawat atas nabi kemudian maka meminta doa bagi dirimu dan bagi segala mukminin dan mukminat”.Di sini kita dapat lihat bahawa Sheikh Daud memperincikan maksud daripada kalimah syahadah ini. Sheikh Daud telah membawa maksud yang jelas iaitu tiada tuhan yang layak di sembah oleh makhluk melainkan Allah SWT yang Esa.Oleh itu, wajib kita beri’tiqad bahawa Allah itu wujud dan Esa. Jika kita ragu akan keesaan Allah, maka telah kafirlah diri seseorang itu.Jika kita menggunakan akal yang waras sekalipun, jika kita katakan ada dua kuasa atau lebih dalam sesebuah negara sudah pasti negara tersebut akan berpecah belah dan sukar untuk menimbulkan  kesepaduan dalam pentadbirandan juga kehidupan rakyat jelata. Begitu juga akan kewujudan Allah sebagai tuhan yang Satu,Penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk menguji akal masing-masing.Jika ditakdirkan ada dua tuhan atau lebih di alam ini, jika tuhan yang mengawal langit ingin menurunkan hujan di bumi pada hari ini tetapi tuhan yang kedua iaitu yang mengawal bumi tidak mahukan hujan turun pada hari ini dan terus juga berkeras untuk menjadikan tidak hujan dan keadaan hari yang cerah, sudah pasti berlaku pertelingkahan antara mereka. Jika salah satu tuhan mengalah, hal ini menunjukkan tuhan yang satu lagi mementingkan diri sendiri.Kerana itu juga Allah telah menegaskan di dalam Al quran: Jika ada tuhan selain Allah maka akan berlaku kebinasaan.
            Seterusnya, Sheikh Daud menerangkan kepada kita semua bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang nabi dan juga rasul. Junjungan baginda adalah makhluk yang dipilih oleh Allah daripada kalangan manusia untuk dilantik sebagai nabi akhir zaman serta dijadikan ikutan oleh seluruh umat yang lahir selepas kehadiran baginda.Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:Sesungguhnya pada diri rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan untuk bertemu hari akhirat.Di sini kita dapat lihat bahawa baginda rasulullah adalah utusan Allah yang benar lagi membenarkan dan wajib keatas setiap umat islam untuk mentaati akan segala perintah rasulullah.Baginda rasulullah semasa hayatnya sungguh indah bagi sesiapa yang hidup sezaman dengan baginda.Jika kita teliti dari perjalanan masa di dunia ini, tiada lagi seorang manusia yang hidup dalam keadaan dipayungi oleh rahmat Allah dan tiada manusia yang setiap pergerakan dan percakapan sehinggakan penampilan baginda direkodkan oleh orang sekelilingnya dan kekal hingga ke hari ini.
            Sebelum penulis menutup huraian ringkas tentang maksud di sebalik tasyahud ini, penulis sekali lagi ingin menyeru dan mengajak rakan pembaca artikel ini agar terus berjuang dan berusaha mencari reda Allah dan mengikuti sunnah baginda Rasulullah.Hal ini kerana di setiap gerak kerja dan kelakuan baginda pasti ada hikmah di sebaliknya kerana itu semua adalah wahyu yang hadir daripada Allah SWT tuhan yang maha kuasa.Saya amat berharap agar para pembaca sekalian mengambil input daripada artikel ini agar boleh dijadikan output dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar di alaf akhir zaman ini.Ingatlah wahai pembaca sekalian, hadirnya islam pada suatu ketika dahulu adalah dalam keadaan yang janggal dan asing dan akan kembali janggal dan asing di akhir zaman ini.Hal ini adalah suatu khabar gembira bagi mereka yang berusaha untuk menjadi seorang yang di redhai oleh Allah SWT. Penulis mengakhiri bicara dengan dengan ucapan barakah dan mulia iaitu Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…Wallahua’lam


PENULIS: MOHAMMAD FAHMIE BIN AHMAD TAKRI

Friday, June 28, 2013

Mujahid Dinamik ...apakah yang anda faham???

Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan menyebut nama-Mu yang amat Pemurah lagi amat Pengasih adalah selayaknya bagi malaksanakan sesuatu urusan kehidupan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam, Selawat dan salam buat junjungan sayyidul mursalin Muhammad bin Abdullah, serta rakan-rakan dan sahabat sekalian.

Mujahid pada bahasanya beerti pejuang atau lebih mesra dalam kalangan umat islam sebagai orang yang berjuang di jalan Allah. Manakala dinamik pula membawa maksud giat ataupun aktif. Gabungan perkataan ini secara jelasnya membawa maksud pejuang Allah yang sentiasa giat dan berusaha untuk memnjaga dan memakmurkan agama Allah yakni Islam. Hal ini adalah suatu perkara yang selayaknya bagi setiap muslim untuk terus menerus mencari redha Allah dengan membantu agama Allah.

Wallahua'lam